






4 FEB. 2026
Pasukan Pengiring Bermotosikal Istana Perlis menerima tiga buah motosikal baharu jenis BMW R 1250 RT bagi memperkukuh aspek keselamatan serta kelancaran tugas-tugas pengiringan rasmi Istana.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim sempena Majlis Penyerahan Motosikal Baharu tersebut.
Penyerahan berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kawalan pergerakan dan kesiapsiagaan pasukan pengiring, khususnya melibatkan urusan rasmi serta pergerakan Tuanku Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis.
Ia turut mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis dalam memastikan profesionalisme dan tahap keselamatan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
UCAPAN TERIMA KASIH
Dalam majlis berkenaan, Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PDRM Kontinjen Perlis atas usaha serta dedikasi berterusan dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman negeri.
Majlis penyerahan itu diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5 Jalan Kuala Perlis.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua Baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail. – Sumber: RTM
