Lebih 210,000 jemaah direkod mengimarah dua pusat ibadah UniMAP 2025

Oleh: Sholina Osman
7 FEB. 2026

Sepanjang tahun 2025, lebih 210,000 jemaah yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah direkodkan mengimarahkan dua pusat ibadah utama universiti tersebut, iaitu Surau UniMAP Kampus Alam Pauh Putra dan Musolla Soodah di Kampus UNICITI Alam Sungai Chuchoh.

Surau UniMAP Pauh Putra muncul sebagai pusat tumpuan utama dengan mencatatkan kehadiran melebihi 120,000 jemaah.

Sementara itu, Musolla Soodah di Kampus UNICITI Alam turut memperlihatkan tahap pengimarahan yang amat memberangsangkan apabila merekodkan kehadiran keseluruhan melebihi 90,000 jemaah bagi solat lima waktu dan solat Jumaat.

Pencapaian ini mencerminkan suburnya budaya kerohanian serta tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan warga UniMAP terhadap kepentingan keseimbangan antara tuntutan rohani dan kecemerlangan akademik.

BERILMU DAN BERKEMAHIRAN

Usaha kolektif ini selari dengan aspirasi UniMAP untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah berakhlak mulia serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Maklumat tersebut telah dipersembahkan oleh Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Muhamad Adib Haji Hassan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor selepas Baginda berkenan berangkat menunaikan solat Maghrib di Surau UniMAP Pauh Putra sempena program ‘Walking Treasure Hunt’ bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan anjuran UniMAP yang diadakan di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (PTSFPJ) UniMAP baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Naib Canselor, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli.

70 ORANG PESERTA

Program tersebut telah disertai oleh lebih 70 orang peserta dan dibahagikan kepada tujuh buah kumpulan.

Setiap kumpulan diberikan lapan tugasan yang perlu diselesaikan merangkumi pelbagai bahagian di perpustakaan itu.

Antaranya Pusat Autism Higher Education and Research Training (A-HEART), Sensory Room, kafe He & She Coffee, serta beberapa kemudahan Pembelajaran dan Ruang Santai yang lain bagi memperkenalkan fasiliti hebat perpustakaan universiti itu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *