






Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan memberikan keutamaan kepada keberkesanan program, kelestarian sumber, pemantapan aset serta pengurusan risiko yang lebih sistematik pada tahun 2026.
Selain itu MAIPs juga akan meneruskan segala usaha bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan melalui teknologi yang relevan pada masa kini serta menggalakkan budaya kerja yang berteraskan data dan analitik.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Bukit Keteri baru-baru ini.
Baginda diiringi oleh ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan bagi menyelami sendiri kehidupan golongan kurang bernasib baik di negeri ini.
DAPAT MENGENAL PASTI
Melalui inisiatif ini, pihak bertanggungjawab dapat mengenal pasti dan menangani isu secara terus dan berkesan.
Jika kediaman asnaf dikenal pasti mengalami kerosakan seperti bumbung bocor atau struktur rumah yang uzur, bantuan baik pulih boleh dipertimbangkan dan diluluskan segera berdasarkan tinjauan fizikal yang dijalankan.
Selain itu, kayuhan ini juga membuka ruang bagi menyelesaikan isu-isu lain seperti dokumentasi pengenalan diri atau masalah persekolahan anak-anak.
DITANGANI SECARA LANGSUNG
Dengan kehadiran ketua-ketua jabatan, sebarang masalah yang dikenalpasti boleh dirujuk dan ditangani secara langsung, sekali gus mempercepatkan proses bantuan.
Sempena kayuhan kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Siti Darishah Man, 86, dari Kampung Masjid Bukit Keteri, Maneh Abdullah, 76, dari Kampung Bilal Uduh, dan Wan Zainol Mahzar Wan Hamzah, 40, juga dari kampung yang sama.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli berupa barangan keperluan asas dan harian, serta beras fidyah. – JM
