πƒπ€π‘πˆππ€πƒπ€ π€π‹π€πŒ πŠπ„ππ€πƒπ€ π„πŠπŽππŽπŒπˆ π‡πˆπ‰π€π”, πŠπŽππ„π‹ 𝐔𝐁𝐀𝐇 πŠπŽπŒπ”ππˆπ“πˆ πŒπ”πŠπˆπŒ 𝐁𝐀𝐓𝐔 𝐏𝐔𝐓𝐄𝐇

18 Feb 2026

Tiga dekad yang lepas, anak-anak muda di Mukim Batu Puteh hanya mampu melambai dari tebing sungai, menyaksikan bot pelancong asing menyusuri Sungai Kinabatangan tanpa sebarang limpahan ekonomi buat komuniti setempat, namun hari ini, pemandangan itu berubah sama sekali.

Mukim kecil yang dikelilingi hutan simpan itu kini menjadi contoh kejayaan pelancongan komuniti bertaraf dunia, diterajui sepenuhnya oleh penduduk tempatan melalui Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh (KOPEL) Bhd yang ditubuhkan secara rasmi pada 2003.

Lebih membanggakan, Batu Puteh dinobatkan sebagai Kampung Pelancongan Terbaik oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) pada 2021, seterusnya membuka jalan untuk bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan bagi membolehkan Hutan Simpan Pin Supu menerima pensijilan Senarai Hijau Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN).

Pengurus Besar KOPEL Bhd Saidal Udin, 43, berkata idea penubuhan koperasi itu bermula pada 1996 menerusi inisiatif Model Ekologi, Komuniti dan Konservasi Pelancongan (MESCOT) yang memberikan kesedaran serta membuka mata penduduk bahawa alam semula jadi boleh menjadi sumber rezeki jika diurus dengan bijak.

Bermula dengan program inap desa, KOPEL kini menawarkan lima jenis penginapan unik, termasuk eco camp, super camp, Mandaa Stay dan hammer camp, disesuaikan dengan keperluan pelancong antarabangsa yang menggemari pengalaman berada dekat dengan alam.

πŸ“Έ Shafiq Hashim/BERNAMA

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *