


Putrajaya | 19 Februari 2026
Warga Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini menyertai siaran langsung perjumpaan bersama YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri dan program Ihya’ Ramadan yang berlangsung di Menara PERKESO.
Penyertaan warga KESUMA diketuai oleh YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA, dan turut dihadiri YBrs. Encik Sutekno bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), bersama barisan pengurusan tertinggi serta warga kementerian. Kehadiran ini mencerminkan komitmen berterusan penjawat awam dalam menghayati amanat kepimpinan negara serta memperkukuh peranan perkhidmatan awam sebagai pemacu kesejahteraan rakyat.
Dalam amanatnya, Perdana Menteri menekankan kepentingan nilai kerohanian, integriti dan kebertanggungjawaban dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam bulan Ramadan yang menuntut penghayatan nilai kesederhanaan, disiplin dan ihsan. Beliau turut menyeru penjawat awam untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berorientasikan rakyat, selaras aspirasi pembangunan negara yang inklusif dan mampan.
Penglibatan warga KESUMA dalam sesi ini mencerminkan sokongan padu kementerian terhadap aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras Kesejahteraan, Ihsan, Hormat dan Tadbir Urus Baik, dalam memastikan sistem perkhidmatan awam kekal responsif, berdaya saing dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
Program ini juga memperkukuh semangat kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan penjawat awam, selain menjadi platform penting untuk memperbaharui iltizam dalam melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
