






Oleh: Sholina Osman
20 FEB. 2026
Peranan institusi Raja dalam konteks negeri Perlis tidak hanya terhad kepada aspek perlembagaan dan simbol kedaulatan, tetapi juga merangkumi amanah besar sebagai pelindung agama, penaung budaya dan pemelihara keharmonian negeri.
Kedudukan Raja sebagai lambang perpaduan rakyat memerlukan pendekatan yang bijaksana dan berhemah, lebih-lebih lagi dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas dan masyarakat yang semakin terdedah kepada pelbagai pengaruh luar.
Dalam suasana sebegini, adat istiadat berperanan sebagai ’tali’ pengikat antara warisan dan kemodenan, manakala agama menjadi panduan dan ’neraca’ penentu dalam menilai segala bentuk pembaharuan yang ingin dibawa.
BERLAKU SECARA TERASING
Pemerkasaan institusi adat istiadat Melayu Perlis tidak boleh berlaku secara terasing daripada agama Islam mahupun pemerintahan.
Sebaliknya, ia perlu dirangka dalam satu acuan strategik dan kolaboratif, yang diselaraskan melalui dasar, program serta pelaksanaan yang holistik dan menyeluruh.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Bintong, dekat Kangar.
MENYANTUNI GOLONGAN ASNAF
Kayuhan amal ini bertujuan menyantuni golongan asnaf serta masyarakat kurang berkemampuan di negeri Perlis, selaras dengan komitmen MAIPs dalam memastikan kebajikan umatnya sentiasa terpelihara.
Inisiatif ini bukan sekadar aktiviti kayuhan, malah merupakan usaha turun padang bagi mendekati penerima bantuan secara langsung, di samping menyampaikan agihan zakat serta bantuan keperluan harian kepada golongan yang memerlukan.
Dalam aktiviti tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih, iaitu Mohd Nasir Mohamad Nor, 49, dari Kampung Telok Jambu, Puteh Bakar, 91, dari Kampung Teluk Kachang, serta Rosenah Hashim, 74, dari Kampung Telok Jambu. – JM
