PMX zahir penghargaan kepada dua kementerian di atas inisiatif dekatkan anak muda dengan masjid

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 FEB. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan di atas sinergi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Belia dan Sukan atas inisiatif mendekatkan anak muda dengan masjid khususnya bersempena bulan Ramadan al-Mubarak.

Beliau berkata ikhtiar kedua menteri ini wajar didukung dalam mengangkat darjat anak muda sebagai memaknai payung ketakwaan madrasah Ramadan dan bukannya sibuk dalam isu yang memecahbelahkan umat.

Anwar yang berkongsi hantaran ini di FB memberitahu beliau berkesempatan meraikan para asatizah dan anak muda dalam Majlis Berbuka Puasa serta Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

MEMBINA KEUPAYAAN ILMU

“Dalam kemahuan membina keupayaan ilmu dan pendidikan, saya kongsi mauduk perbincangan saya dengan cucu setelah solat subuh tadi mengenai peringatan Allah SWT sebagaimana yang dalam surah ‘Abasa diturunkan sebagai teguran Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang berpaling daripada Abdullah ibn Umm Maktum, seorang sahabat buta yang ingin mempelajari Islam. Ibrah dari peristiwa ini menjelaskan kepentingan peka dan keperluan memberi keutamaan kepada orang yang kekurangan, bukan semata memberi perhatian kepada golongan yang berada sahaja,” kata beliau.

Firman Allah SWT:

‎عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلْأَعْمَىٰ (٢) وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣) أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكْرَىٰٓ (٤)

Maksudnya: “Ia memasamkan muka dan berpaling, (1) Kerana ia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)! – (3) Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (4)

Surah Abasa (1-4)

Suara kecil ini mungkin lebih mulia di sisi Allah SWT dan sifat hormat dan prihatin kepada persekitaran ini penting kepada generasi hadapan dalam penyempurnaan adab, berdedikasi kepada perjuangan kebenaran, tidak gentar kepada ujian namun hanya takut kepada Allah SWT. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *