Perlis patut buka peluang pelaburan kepada usahawan Perancis kini giat cari pelaburan di Malaysia – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
24 FEB. 2026
Foto Ihsan MAIPs

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sudah tiba masanya negeri Perlis membuka peluang pelaburan kepada usahawan Perancis yang sedang giat mencari peluang baharu di pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

Antara sektor yang boleh diterokai bersama di Perlis adalah bidang
pertanian moden, pendidikan berkualiti tinggi dan teknologi hijau.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dititahkan oleh Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan menyerahkan sumbangan kecil MAIPs berjumlah RM4,000 kepada Masjid Les Abeilles di Paris.

MENYOKONG PROGRAM INFAQ

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua memaklumkan bahawa MAIPs terpanggil untuk turut serta menyokong program Infaq kepada masjid sekitar Paris sempena bulan Ramadan kali ini yang diinisiatifkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia bersama komuniti Islam di kotaraya tersebut.

Imam Benerruoa Jamal dan Imam Assougdam Said hadir selaku wakil menerima bagi pihak masjid berkenaan.

Turut mengiring ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, Setiausaha Pertama, Mohd Nizam Halimi, dan Setiausaha Kedua, Shahidan Shakir Abdul Wahab.

KOMITMEN BERTERUSAN MAIPs

Eldeen Husaini berkata, penyerahan sumbangan ‘From Perlis To Paris’ ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh hubungan ukhuwah serta menyokong usaha kebajikan masyarakat Islam di peringkat antarabangsa.

Sumbangan berkenaan juga pasti dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kebajikan ahli kariah dan golongan yang memerlukan di Masjid Les Abeilles.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa dari sudut ekonomi, jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia-Kesatuan Eropah pada tahun 2025 telah melebihi €630 bilion, sekali gus mencatat rekod baharu dan mencerminkan prestasi kukuh dalam landskap pasaran global yang semakin mencabar.

TERMASUK PRODUK UTAMA
 
Eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah telah menunjukkan peningkatan termasuk produk utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), barangan daripada minyak sawit serta peralatan pengangkutan.

Angka rekod ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk terus kekal berdaya saing, inovatif dan terbuka kepada perdagangan walaupun berdepan cabaran ekonomi global.  

Manakala bagi pembeli, dan pemain industri Perancis, trend ini mencerminkan satu realiti yang jelas: Malaysia sudah pun berakar kukuh dalam rantaian bekalan global dan berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan Eropah terhadap komponen, peralatan dan produk pembuatan bernilai tinggi.

MEMPERKENALKAN NEGERI PERLIS

Melihat kepada aliran peningkatan ini, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Paris selepas ini akan turut memperkenalkan negeri Perlis terutama sekali Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) kepada mana-mana pelabur Perancis yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

Dalam sektor pendidikan pula Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan turut dihubungi oleh pihak Kedutaan Besar untuk mempertimbangkan beberapa permohonan daripada calon mahasiswa dari universiti-universiti di Perancis yang berminat untuk menyertai Program Pertukaran Pelajar tempoh jangka pendek untuk menyambung pelajaran di Perlis dalam masa terdekat ini.

Selain itu, MAIPs melalui Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) turut menawarkan peluang pengajian kepada masyarakat komuniti Muslim di luar negara termasuk Perancis melalui pelbagai pengajian berkonsepkan aplikasi sunnah (Applied Sunnah) yang merupakan ciri unik pengajiannya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *