



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
24 FEB. 2026
Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi sebanyak RM78.95 bilion dan mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan pada tahun 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian ini dilaporkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-35 yang dipengerusikan beliau pada pagi semalam.
Selain itu, beliau berkata NCER pada tahun lalu telah berjaya melahirkan 4,000 orang bakat tempatan yang menepati keperluan pelabur dan industri menerusi program di bawah kendalian Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).
“Mesyuarat kali ini telah membincangkan perancangan 2026 dan tahun mendatang dengan fokus memantapkan peranan dalam mempercepatkan realisasi pelaburan berkualiti tinggi di wilayah utara, ini termasuk beberapa pelaburan berpotensi terkait Kedah Rubber City (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau berkata turut diteliti adalah inisiatif meluaskan impak pembangunan ekosistem pelaburan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan kajian meningkatkan semula daya saing pelancongan di Pulau Langkawi. – JM
