



Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Sin Chew Daily
26 FEB. 2026
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terus bertegas menangani kesalahan pembuangan sampah kecil apabila tiga orang individu telab disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini.
Kenyataan media SWCorp memaklumkan individu berkenaan diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selaras dengan peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Ketiga-tiga Orang Kena Saman (OKS) yang merupakan warganegara Malaysia telah disabitkan atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam iaitu puntung rokok.
“Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 77A(1) Akta 672 yang memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan membuang sisa pepejal di kawasan awam yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan awam,” kata kenyataan itu.
MENJATUHKAN HUKUMAN DENDA
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 terhadap setiap OKS dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, boleh dipenjarakan selama tiga puluh hari.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan pesalah menjalani PKM selama lapan jam dalam tempoh enam bulan selaras dengan peruntukan Seksyen 77B(1) Akta 672.
Sekiranya gagal melaksanakan PKM, pesalah boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM2,000, gagal bayar penjara selama dua bulan.
Tindakan penguatkuasaan ini menegaskan komitmen SWCorp dalam memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan kebersihan awam, khususnya di kawasan tumpuan masyarakat yang memerlukan kawalan berterusan bagi mengekalkan kualiti kebersihan persekitaran.
35 NOTIS PEMBERITAHUAN
Sehingga 25 Februari 2026, Perlis telah merekodkan sebanyak
35 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan 34 kes warganegara tempatan dan 1 kes warganegara asing.
Daripada jumlah tersebut, tiga kes telah dijadualkan untuk prosiding sebutan di mahkamah pada 26 Februari 2026 manakala 2 kes lagi pada 12 Mac 2026.
Secara keseluruhan, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 941 NPK di tujuh negeri yang melaksanakan Akta 672 melibatkan 741 warganegara tempatan dan 200 warganegara asing.
Statistik ini memperlihatkan pelaksanaan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang konsisten bagi memastikan tahap kebersihan awam sentiasa terkawal, khususnya di kawasan berintensiti tinggi.
TIDAK AKAN BERKOMPROMI
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Tuan Khalid Mohamed menegaskan bahawa SWCorp tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan kebersihan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan serta berkesan.
Menurut beliau, pelaksanaan PKM mencerminkan pendekatan pembetulan tingkah laku yang memberi peluang kepada pesalah untuk merasai sendiri cabaran kerja-kerja pembersihan awam, sekali gus menyedarkan mereka tentang kesan perbuatan tersebut terhadap persekitaran dan kesejahteraan
masyarakat.
Seiring dengan itu, orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang kesalahan berkaitan kebersihan kepada SWCorp melalui talian WhatsApp 013-210 7472 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://swcorp.spab.gov.my. – JM
