







Oleh: Sholina Osman
28 FEB. 2026
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bahawa bidang kemahiran merupakan tonggak penting dalam pembangunan negara.
Malaysia memerlukan tenaga mahir yang bukan sahaja cekap dari segi teknikal, malah memiliki sahsiah yang kukuh serta jati diri yang mantap.
Baginda menyeru para pelajar agar menguasai kemahiran dengan penuh kesungguhan dan berusaha menjadi individu yang berdaya saing, kreatif serta inovatif dalam bidang masing-masing termasuk dalam bidang kulinari dan bakeri, ketelitian serta kesabaran menjadi penentu kualiti hasil kerja.
IMEJ SERTA KREDIBILITI
Dalam kosmetologi pula, profesionalisme dan keyakinan diri mencerminkan imej serta kredibiliti. Manakala dalam bidang pelancongan, komunikasi yang berkesan dan layanan mesra merupakan kunci kejayaan industri.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kemahiran sedia ada.
Teknologi, titah Baginda, hendaklah digunakan secara bijak dan beretika demi meningkatkan daya saing diri serta menyumbang kepada pembangunan negara.
PROGRAM TITIAN KASIH
Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Kolej Vokasional Sandakan 2 yang berlangsung di Sandakan, Sabah.
Keberangkatan tiba Baginda ke program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ini disambut oleh Pengarah Kolej Vokasional Sandakan 2, Christine Stanislaus Kinsik
Majlis tersebut melibatkan seramai 300 orang pelajar.
SENTIASA BERILTIZAM MELAHIRKAN
Dalam ucapannya, Christine berkata bahawa Kolej Vokasional Sandakan 2 sentiasa beriltizam melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal dan vokasional, malah berakhlak mulia, berjiwa besar serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, Program Titian Kasih 2026 memberi suntikan semangat baharu kepada warga kolej untuk terus memperkukuh usaha mendidik dan membimbing pelajar agar menjadi insan yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan nilai.
Pihak kolej sangat berbesar hati atas perhatian Tuanku Raja Muda Perlis terhadap pendidikan vokasional. Sokongan tersebut menjadi dorongan untuk terus meningkatkan kualiti pengajaran serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berdaya saing.
MENYEMPURNAKAN PENYERAHAN SUMBANGAN
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berjumlah RM1,500 kepada kolej, termasuk insentif RM500 kepada pelajar cemerlang bagi tempoh tiga tahun.
Baginda juga berkenan menyempurnakan simbolik penanaman pokok serta perasmian Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Selain itu, Baginda turut berkenan menyaksikan pengurniaan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM2,000, serta sumbangan ikhlas daripada Yayasan Harmoni, Mutiara Perlis Sdn. Bhd. dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pihak kolej. – JM
