PMX seru rakyat ambil iktibar konflik Timur Tengah, perkukuh perpaduan

Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada konflik di Timur Tengah serta penderitaan berpanjangan di Palestin terutama Gaza dengan terus memperkukuh semangat perpaduan dan kesatuan
dalam negara.

Beliau berkata dalam situasi geopolitik global yang semakin tidak menentu, Malaysia perlu kekal bersatu tanpa mengira perbezaan politik, kaum atau agama bagi mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang serta kepentingan negara.

“Isu ini bukan soal menyebelahi mana-mana kuasa besar semata-mata tetapi soal mempertahankan
prinsip, keadilan dan kedaulatan.

KEADAAN GENTING BEGINI

“Dalam keadaan genting begini, negara kecil seperti Malaysia mesti berdiri teguh dengan kekuatan perpaduan rakyatnya,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Felda di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anwar berkata tidak ada negara di dunia yang menghadapi kekejaman, rampasan tanah serta kemusnahan berterusan termasuk pembunuhan kanak-kanak dan kemusnahan hospital serta sekolah seperti yang dialami rakyat Palestin selama lebih 70 tahun.

“Sebab itu, renunglah sebentar di bulan Ramadan tentang nasib umat dan mengapa kita harus kukuhkan perpaduan, bersihkan diri kita dan negara kita.

TIDAK ADA ORANG

“Kita ada keupayaan, jaga Felda, hospital, sekolah dan tidak ada orang yang musnahkan setiap hari seperti yang berlaku di negara sana.

Gunakanlah keadaan ini sebaik mungkin, itu yang saya nak pesan dari hati ke hati,” katanya.

Perdana Menteri berkata Ramadan juga harus dijadikan kesempatan untuk memperkukuh kesedaran, meningkatkan amal serta mendoakan keselamatan negara, masyarakat dan umat Islam secara keseluruhannya.

HANYA DENGAN KESATUAN

Beliau berkata hanya dengan kesatuan, integriti dan penghayatan nilai yang kukuh Malaysia mampu kekal aman serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.

Pada awal pagi 28 Februari lepas, Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan udara terhadap beberapa sasaran di Iran.

Tehran kemudian bertindak balas dengan menyasarkan pangkalan tentera serta kemudahan logistik Amerika Syarikat di beberapa negara Arab, yang turut menyebabkan sekatan ruang udara meluas di seluruh rantau itu. – Sumber : BERNAMA

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *