Kastam Perlis tumpaskan cubaan seludup ganja lebih RM4 juta di pesisiran pantai Ruat, Yan

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Chong Keat Yin (Sin Chew Daily)

Kastam Perlis berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis ganja sebanyak 136.504 kilogram bernilai RM4,179,740.00 di kawasan tepi batu di Jalan Pesisir Pantai, Ruat, Yan, Kedah pada 22 Februari lalu.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata taktik penyeludup kali ini cuba menyorokkan guni-guni berisi ganja di celahan batu-batu besar di pesisir pantai bagi menggaburi pihak berkuasa ternyata gagal.

“Barang terlarang ini akan dipungut oleh individu sebelum ia dipasarkan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri Perlis di Kangar hari ini.

Ismail Hashim berkata berdasarkan maklumat serbuan pada lokasi berkenaan telah dilakukan oleh pasukan operasi dari Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis
pada pukul lebih kurang 12.30 tengah hari, 22 Februari 2026.

TIADA INDIVIDU TAMPIL

Beliau berkata pasukan berkenaan mengambil masa selama setengah jam untuk memantau lokasi tetapi tiada individu tampil memungut guni berkenaan yang kemungkinan ketika itu waktu tengah hari kerana mudah dilihat.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan enam bungkusan plastik hitam ditinggalkan dalam keadaan yang mencurigakan,” kata Ismail.

Beliau berkata pemeriksaan rapi terhadap kesemua bungkusan mendapati terdapat 79 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis yang dianggarkan berat sebanyak 87.54 kilogram dan bernilai RM262,620.00.

BUNGKUSAN PLASTIK LUTSINAR

Turut dijumpai adalah 90 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki bunga kanabis dengan berat sebanyak 48.964 kilogram dan bernilai RM3,917,120.00.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah jenis kanabis adalah sebanyak 136.504 kilogram dan bernilai RM4,179,740.00.

Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

MEMERANGI JENAYAH PENYELUDUPAN

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak melibatkan diri dengan aktiviti tersebut.

Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian
Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan agar kita bersama-sama dapat membanteras kegiatan penyeludupan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *