PMX pengerusikan MKewN 2026 bersama Menteri-menteri Besar, Ketua-ketua Menteri

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
5 MAC 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara (MKewN) 2026 bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri di Kementerian Kewangan petang tadi.

Beliau berkata pertemuan ini menjadi ruang memperkukuh kerjasama Persekutuan-Negeri tanpa mengira perbezaan politik.

“Alhamdulillah, Kerajaan MADANI terus meningkatkan pemberian Persekutuan kepada Kerajaan Negeri daripada RM8.1 bilion pada 2022 kepada RM10.3 bilion pada 2025, dan diunjurkan mencecah RM10.5 bilion pada tahun ini,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Beliau berkata ini sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap negeri menerima layanan yang adil dan saksama.

ASAS EKONOMI MALAYSIA

“Dalam mesyuarat ini, saya memaklumkan bahawa asas ekonomi Malaysia kekal kukuh di sebalik ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat. Pertumbuhan KDNK tahun 2025 mengatasi unjuran, manakala kadar pengangguran berada pada tahap terendah dalam tempoh 11 tahun,” kata Perdana Menteri.

Jelas Anwar bekalan gas dan minyak negara juga kekal terjamin.

Tambah beliau kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan global, dan memastikan Malaysia bersiap siaga dengan langkah kontingensi bagi melindungi rakyat serta memastikan kelangsungan ekonomi negara.

“Mesyuarat MKewN turut bersetuju bahawa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan MADANI akan menyalurkan 100 peratus kutipan Cukai Pelancongan kepada negeri masing-masing, berbanding hanya 50 peratus sebelum ini, sebagai galakan untuk merancakkan ekonomi pelancongan negeri,” kata beliau.

Beliau menambah kerajaan MADANI kekal berpendirian untuk berlaku adil kepada semua negeri agar kita dapat bergerak seiring membina negara yang lebih makmur, mampan dan terangkum seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *