JPJ tidak kompromi kenderaan Thailand masuk ke negara Malaysia tanpa ICP

Oleh: Sholina Osman
Foto: Sin Chew Daily & FB JPJ Perlis

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana kenderaan Thailand masuk ke negara ini tanpa Permit Edaran Antarabangsa (ICP).

Sehubungan itu kata Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli sekalipun kenderaan berkenaan dikesan berada pada jarak lebih dua kilometer dari pintu masuk sempadan negara ini ia termaktub dalam tindakan perundangan.

“Peringatan kepada semua kenderaan Thailand supaya dapatkan ICP ini di stesen kawalan penguatkuasa JPJ di sempadan negara,” kata beliau pada sidang media selepas Majlis Jalinan Ukhuwah Ramadan JPJ Perlis di Jejawi, Arau malam tadi.

MENGIKUTI TAZKIRAH RAMADAN

Sebelum itu Aedy Fadly mengikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Imam Masjid Muhammadi Sungai Adam Ustaz Mohammad Sofi Hassan.

Hadir sama Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi.

Aedy Fadly berkata kebenaran ICP yang sah untuk tempoh 90 hari itu hanya terpakai untuk kegunaan kenderaan persendirian.

UNTUK AKTIVITI LAIN

Beliau berkata adalah menjadi kesalahan bagi kenderaan itu diguna pakai untuk aktiviti lain termasuk sebarang urus niaga di negara ini.

“JPJ tidak akan mengeluarkan ICP itu sekiranya kenderaan warga asing tersebut mempunyai saman tertunggak sehingga ia diselesaikan,” kata beliau.

Tambah beliau jika kenderaan yang ada tunggakan saman itu didapati telah melepasi masuk ke negara ini maka akan ditahan untuk sitaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *