




Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2026
Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Program Sahabat Sahur sebagai komitmen kebajikan menerusi agihan juadah bersahur kepada gelandangan serta petugas keselamatan dan kecemasan baru-baru ini.
Program bermula seawal pukul 12.00 tengah malam itu melibatkan misi pengagihan makanan dari Sungai Petani, Kedah sebelum berakhir kira-kira pukul 4.00 pagi di Georgetown, Pulau Pinang.
Seramai 16 jawatankuasa POTENSI UniMAP terlibat dalam program tersebut yang diketuai oleh Presidennya, Raja Shah Erman Raja Arifin.
Raja Shah Erman berkata program berkenaan merupakan aktiviti tahunan POTENSI UniMAP yang sebelum ini dilaksanakan di negeri Perlis.
DIPERLUAS KE DUA NEGERI
Bagaimanapun katanya pada tahun ini ia diperluaskan ke dua negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.
“Program Sahabat Sahur ini merupakan kesinambungan usaha kebajikan POTENSI UniMAP yang kita laksanakan setiap tahun di mana kali ini kita mengambil inisiatif merentas dua negeri bagi menyantuni lebih ramai golongan yang memerlukan,” katanya setelah dihubungi selepas sesi pengagihan juadah kepada golongan sasaran di lokasi akhir sekitar Georgetown.
Sepanjang program tersebut, sebanyak 50 bungkusan nasi kandar tajaan Marrybrown berjaya diagihkan kepada 30 golongan gelandangan serta 20 petugas keselamatan dan kecemasan yang sedang bertugas pada waktu malam.
MENCERIAKAN GOLONGAN GELANDANGAN
Menurut beliau lagi, inisiatif itu diharap dapat menceriakan golongan gelandangan selain memberi suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan yang komited menjalankan tugas demi keselamatan masyarakat.
“Saya berharap pemberian juadah bersahur ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan golongan gelandangan di samping menghargai pengorbanan petugas keselamatan dan kecemasan yang tetap bertugas walaupun pada waktu sahur,” ujarnya.
Tambahnya, POTENSI UniMAP beriltizam untuk meneruskan lagi program seumpama ini di masa akan datang sebagai salah satu platform menyemai nilai keprihatinan serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti. – JM
