


Sungai Buloh | 10 Mac 2026
Kerjasama strategik antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) terus diperkukuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas peluang pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Majlis pertukaran dokumen tersebut telah disaksikan oleh Menteri Pertahanan, YB Datoβ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia, YB Datoβ Sri Ramanan Ramakrishnan di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuh ekosistem sokongan kerjaya bagi membantu veteran ATM beralih ke sektor pekerjaan awam melalui padanan pekerjaan yang lebih sistematik menerusi portal MYFutureJobs.
PELUANG PEKERJAAN
Melalui inisiatif Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira, seramai 5,000 veteran ATM disasarkan menerima peluang pekerjaan menjelang tahun 2030. Program ini turut memberi fokus kepada pemetaan pekerjaan berdasarkan lokaliti serta keperluan industri bagi memastikan peluang kerjaya yang lebih sepadan dengan kemahiran dan pengalaman veteran.
Sehingga kini, lebih 14,000 veteran ATM telah berdaftar dalam portal MYFutureJobs, manakala bagi tempoh 2020 hingga 2025 seramai 5,530 veteran telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk pembuatan, perkhidmatan dan teknikal.
Kerjasama ini turut merangkumi integrasi sistem antara MYFutureJobs dan VIBES bagi mempertingkat ketepatan padanan kerjaya serta memperluas akses kepada perlindungan keselamatan sosial bagi golongan veteran.
Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan veteran ATM terus diberi peluang pekerjaan yang berkualiti serta berpendapatan bermaruah selepas menamatkan perkhidmatan kepada negara.
