
11 MAC 2026
SEREMBAN: Pelaburan yang diluluskan di Negeri Sembilan bagi tahun 2025 mencatatkan pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri tersebut selepas merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak RM19.1 bilion.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datoβ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pencapaian itu melibatkan kelulusan sebanyak 295 projek pelaburan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA) di negeri berkenaan.
Menurut beliau, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan yang amat ketara berbanding tahun 2024 yang mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM7.2 bilion, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 164 peratus.
βLebih membanggakan, jumlah ini juga telah memecahkan rekod pencapaian terbaik negeri sebelum ini yang dicatatkan pada tahun 2023 dengan nilai pelaburan sebanyak RM10.1 bilion,β katanya.
PRESTASI PELABURAN
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai prestasi pelaburan yang berjaya direkodkan oleh Negeri Sembilan bagi tahun 2025 semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin berkata, selain nilai pelaburan yang tinggi, projek-projek yang diluluskan itu juga dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.
βProjek-projek yang diluluskan ini dijangka akan mewujudkan sebanyak 3,845 peluang pekerjaan baharu, sekali gus membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak-anak Negeri Sembilan serta meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat,β katanya.
Tambah beliau, jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Negeri Sembilan kini berada di kedudukan tangga keenam tertinggi berbanding tangga kesembilan pada tahun sebelumnya dari segi jumlah pelaburan yang diluluskan.
Menurutnya, negeri itu berada di belakang negeri Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.
βIni merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan dan membuktikan bahawa Negeri Sembilan semakin mendapat tempat dalam kalangan pelabur sebagai destinasi pelaburan yang stabil, strategik dan berdaya saing,β ujar beliau.
Kredit :FAIZ ABDULLAH(NEGERI KITA)
