

Oleh: Sholina Osman
13 MAC 2026
Seramai 70 orang jemaah Malaysia yang menginap di Hotel Mira Ajyad di Makkah disahkan selamat dalam insiden kebakaran berlaku kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan pada 12 Mac 2026.
Kenyataan media Wisma Putra memaklumkan jemaah berkenaan di bawah kelolaan TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel.
“Ketiga-tiga agensi tersebut telah
mengesahkan bahawa semua jemaah Malaysia di bawah pengurusan mereka berada dalam keadaan
selamat dan telah dikenal pasti,” kata kenyataan itu lagi.
BERKUMPUL DENGAN SELAMAT
Dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan oleh Konsulat Jeneral
Malaysia di Jeddah kira-kira pukul 7.20 malam waktu tempatan, beberapa jemaah Malaysia juga dilihat berkumpul dengan selamat di sekitar kawasan hotel.
Pada peringkat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden tersebut berpunca daripada serangan dron atau sebarang unsur sabotaj.
KEMBALI KE BILIK
Atas faktor keselamatan, para tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sekiranya terdapat kelewatan dalam mendapatkan kebenaran untuk kembali ke hotel, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan masing-masing akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas.
Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, akan terus memantau situasi ini dengan rapat dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara.
SUPAYA KEKAL TENANG
Jemaah Malaysia yang kini berada di Makkah dinasihatkan supaya kekal tenang dan patuhi arahan yang
dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di:
KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI JEDDAH, KERAJAAN ARAB SAUDI
Tel: +966 126 727 740 | +966 573 099 589
E-mel: mwjeddah@kln.gov.my – JM
