KPDN laksana 13,564 pemeriksaan larang warga asing beli minyak masak peket bersubsidi

Oleh: Sholina Osman
13 MAC 2026

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan 13,564 pemeriksaan berkaitan larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket 1 kg kepada bukan warganegara Malaysia di seluruh negara mulai 1 Mac sehingga kini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata hasil
pemeriksaan tersebut mendapati tiada tindakan kes direkodkan, manakala hanya tujuh aduan diterima berhubung pelaksanaan larangan tersebut.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 563 pemeriksaan telah dilaksanakan di Sarawak dalam tempoh yang sama bagi memastikan pematuhan terhadap larangan berkenaan.

TIADA KES DIREKODKAN

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kes direkodkan di Sarawak setakat ini,” kata beliau dalam kenyataan media.

Terdahulu Dr Fuziah turun padang ke Pasar Raya Emart Matang bagi meninjau tahap pematuhan terhadap pelaksanaan larangan tersebut di mana KPDN mendapati urus niaga melibatkan minyak masak peket 1kg di premis berkenaan adalah terkawal dengan bekalan berada pada tahap mencukupi.

Dalam lawatan tersebut, kata beliau Notis Larangan Penjualan dan Pembelian Minyak Masak Bungkusan Polibeg 1 kg kepada Bukan Warganegara Malaysia turut diserahkan kepada Pengarah Urusan Pasar Raya Emart Matang, Ngu Ting Sii sebagai peringatan berhubung pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa.

LANGKAH PROAKTIF KERAJAAN

Pada masa yang sama, beliau berkata KPDN turut melaksanakan OPS PANTAU 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026 sebagai langkah proaktif
Kerajaan bagi memantau bekalan serta harga barangan keperluan
sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sehingga 12 Mac, kata Dr Fuziah sebanyak 52,375 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara susulan 1,027 aduan yang diterima.

“Hasil pemeriksaan tersebut, 1,045 kes telah direkodkan dengan 829 kompaun secara on-the-spot (KOTS) dikeluarkan melibatkan nilai kompaun berjumlah RM222,500, manakala nilai rampasan direkodkan sebanyak RM7,948,696.45,” tambah beliau.

DILAKSANAKAN DO SARAWAK

Beliau menjelaskan daripada jumlah tersebut, 4,838 pemeriksaan telah dilaksanakan di Sarawak dalam tempoh yang sama.

Tambah beliau hasil pemantauan mendapati 53 aduan diterima dan 142 kes direkodkan, dengan 115 KOTS dikeluarkan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan.

“Bagi pemantauan khusus di Bazar Ramadan, sebanyak 16,820
pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dengan hanya sepuluh
kes direkodkan setakat ini,” kata beliau.

Beliau memberitahu masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak dan Perak dan manakala di Negeri Sembilan dan Putrajaya hanya satu kes. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *