




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 MAC 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama masyarakat Sarawak di Kuching petang tadi.
Beliau berkata ia menjadi kesempatan yang mengingatkan kita bahawa Ramadan tidak sekadar bulan ibadah tetapi madrasah yang mendidik jiwa; membentuk ketakwaan, memperkukuh persaudaraan, dan menyemai semangat kebersamaan antara kaum dan agama di negara ini.
Jelas beliau dalam suasana yang penuh keberkatan ini, kita diingatkan bahawa nilai kemanusiaan, keadilan dan perpaduan mesti terus menjadi teras dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
“Di ruang yang sama, saya tegaskan betapa dunia sedang berdepan kegawatan yang tidak diduga akibat konflik di rantau Teluk dan Parsi yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global, termasuk kenaikan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
MENGAMBIL LANGKAH SEGERA
Lantaran itu, kata beliau kerajaan mengambil langkah segera dan berhemah bagi melindungi rakyat, termasuk mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 meski negara tetangga di rantau kita hampir kesemuanya telah menaikkan harga petrol.
“Prinsip kita jelas yakni ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan beban itu tidak dipindahkan kepada mereka,” kata Anwar.
Namun kata beliau dalam menghadapi tantangan ini, kekuatan sebenar negara terletak pada ketahanan domestik.
INOVASI DAN PERPADUAN
“Dengan etika kerja yang lebih tekun, tadbir urus yang lebih baik serta semangat inovasi dan perpaduan antara Persekutuan, negeri, sektor swasta dan rakyat, kita mesti mampu mengubah cabaran menjadi peluang,” tambah beliau.
“Seperti yang diungkap pemikir dan ekonomis Jerman-Austria Joseph Schumpeter mengenai ‘creative destruction’, setiap krisis menuntut keberanian mencari ruang dan jalan baharu dalam mengolah sistem ekonomi sedia ada.
Insya-Allah, dengan ikhtiar bersama dan doa yang tidak putus, Malaysia mesti melangkah gagah sebagai tatanan yang berdaya tahan, bersatu dan tegap,” kata Perdana Menteri. – JM
