




Wartawan JM
17 MAC 2026
Kerajaan MADANI mengambil pendirian tegas untuk terus melindungi kebajikan rakyat, khususnya sepanjang Ramadan dan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tatkala ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa langkah telah dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat dan memastikan persiapan berjalan dengan baik.
Beliau berkata di antaranya pemberian cuti tambahan Aidilfitri selain Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dari 14 hingga 28 Mac 2026.
5.2 JUTA PENERIMA
“Bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada 10 Mac 2026 kepada 5.2 juta penerima melibatkan RM1.3 bilion; Penyaluran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran, termasuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu kata Anwar diberikan peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelbagai institusi pengajian tinggi.
“Pelaksanaan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga berpatutan dan Larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia,” kata beliau.
MEMBERI DISKAUN TOL
Sehubungan itu, kata beliau sebagai sebahagian daripada keseluruhan ikhtiar ini, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalananrakyat pulang ke kampung halaman.
Jelas beliau inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.
“Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac
2026 (Rabu) hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis), melibatkan
kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol
Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya
Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA),” tambah Perdana Menteri.
IKHTIAR PELEPASAN KEBANKRAPAN
Beliau berkata Kerajaan MADANI menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia juga akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara Fast Track.
Justeru kata beliau bersempena Aidilfitri, sekitar 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan.
Anwar berkata semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama.
BERBELANJA SECARA BEEHEMAH
“Pada masa sama, saya ingin mengulangi seruan agar rakyat terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal,” tambah beliau.
Dalam keadaan ekonomi dunia
yang masih tidak menentu, Anwar berkata semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.
“Mewakili seluruh jentera Kerajaan MADANI, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar Perdana Menteri.
Harapan beliau semoga Aidilfitri disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga serta insan tersayang. – JM
