
SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan menganjurkan Program Mantai Raya Perdana secara serentak di kesemua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 18 Mac ini.
100 KILOGRAM PERCUMA
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, sebanyak 100 kilogram (kg) daging percuma akan diagihkan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan di setiap DUN, menjadikan keseluruhan agihan mencecah 3,600 kg.
Menurut beliau, selain agihan percuma itu, kerajaan negeri turut menyediakan sebanyak 18,000 kg daging bersubsidi untuk dijual kepada orang ramai dengan potongan harga RM3 sekilogram daripada harga pasaran.
“Setiap individu dihadkan pembelian maksimum dua kilogram sahaja, manakala setiap DUN diperuntukkan sebanyak 500 kg daging bersubsidi,” katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, harga jualan sebenar daging bagi program Mantai Raya Perdana itu masih belum dimuktamadkan kerana ia bergantung kepada pembekal serta sambutan orang ramai.
Tambah beliau lagi, program berkenaan akan diselaraskan oleh Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dengan kerjasama pihak berkaitan di setiap DUN.
Program Mantai Raya Perdana itu juga akan digabungkan bersama Jualan Rahmah serta Jualan Agro MADANI bagi memberi lebih pilihan barangan pada harga berpatutan kepada orang ramai menjelang Aidilfitri.
