



Sebanyak 3,000 bakul makanan dan 4,000 set manisan diagihkan oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Penyerahan bantuan dilaksanakan secara berperingkat sejak 13 Mac sebelum berakhir pada hari ini (17 Mac), menerusi majlis penyerahan bantuan kepada 1,000 penerima di daerah Kota Tinggi melibatkan penduduk kawasan Johor Lama dan Panti.
Majlis disempurnakan oleh Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi, diiringi Dato’ Avinderjit Singh, Pengurus Pemegang Amanah YSIJ yang berlangsung di Dewan Semerah Padi, Kampung Lukut.
Mewakili seluruh rakyat di daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YSIJ atas sumbangan yang amat bermakna ini.
“Kami bagi pihak warga Kota Tinggi ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas keprihatinan YSIJ yang sentiasa turun padang menyantuni rakyat.
“Sumbangan bakul makanan dan set manisan ini sudah pasti membawa keceriaan buat 1,000 keluarga di sini dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” ujar beliau ketika ditemui.
Seorang penerima warga emas, Samariah Mohd Arif, 76, tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan sebak sebaik menerima bantuan berkenaan.
Bagi beliau, sumbangan daripada YSIJ adalah satu rahmat besar memandangkan keadaannya yang kini terbatas akibat masalah katarak mata yang serius.
“Terima kasih kepada YSIJ kerana prihatin dengan penduduk kampung di Johor Lama ini. Sumbangan yang diterima amat membantu dalam persediaan untuk kami menyambut raya nanti,” katanya.
