








OLEH: NORAINI NORDIN
(Coret-coret Aidilfitri 2026)
20 MAC 2026
Empat tahun lalu oleh kerana teruja untuk menikmati lemang daun lerek penulis singgah bertamu di sebuah gerai menjual lemang tersebut di pinggir ibu kota .
Pada masa tersebut, harga lemang daun lerek yang bersaiz sederhana ialah RM 25 sebatang (saiz sederhana).
Manakala lemang daun lerek yang bersaiz 0.6 meter ( dua kaki ) berharga RM35 sebatang.
Tidak perlu merungut mengenai harga sebatang lemang lerek kerana penulis memahami bukan mudah untuk mencari buluh lemang apatah lagi daun lerek `di hutan batu’ di kota-kota besar.
Berlainan pula bagi mereka yang menetap di desa yang mengekalkan kehijauan alamnya.
Buloh lemang masih mudah didapati di kawasan hutan dan ada penduduk menanam pohon buloh lemang di kawasan rumah masing-masing.
Pokok daun lerek juga boleh ditanam atau mudah didapati di kawasan hutan di desa pedalaman.
Bagi Mohd Faizal Nordin tahun ini beliau memilih untuk membuat lemang daun lerek sebagai menu utama juadah Aidilfitri esok..
“Tahun ini saya memang bercadang untuk membuat lemang untuk sajian Aidilfitri . Menu yang pastinya menceriakan keluarga serta tetamu yang bertandang.
Untuk menghasilkan lemang daun lerek saya meminta bantuan daripada sahabat yang juga jiran terdekat iaitu Mohd Huzaini Mohd Huzaimi. Beliau memang mahir menghasilkan lemang daun lerek yang terkenal dengan keenakan tersendiri.
“Ini kali pertama saya membuat lemang daun lerek . Sebelum ini saya membuat lemang menggunakan daun pisang, ‘’ kata Mohd Faizal yang bertugas sebagai guru di salah sebuah Sekolah Menengah di Johor.
BAKAR LEMANG MENGGUNAKAN DAHAN POKOK DURIAN
Menurut Mohd Faizal , untuk membangkitkan lagi keenakan rasa lemang daun lerek, beliu membakar lemang tersebut menggunakan dahan pohon durian yang sudah matang.
Istimewanya lemang daun lerek dibakar dengan kayu pohon durian untuk menaikkan lagi aroma kelazatan lemang daun lerek tersebut.
“Membakar lemang menggunakan dahan pokok durian selain tahan lama sebagai bahan bakar , ia juga berbau harum. Apatah lagi jika lemang daun lerek ini dinikmati bersama rengang daging Negori ,’’ katanya .
Lemang daun lerek (Phacelophrynium maxium) ialah daripada tumbuhan herba yang tumbuh meliar sangat popular sebagai pembalut lemang tradisional.
Daun ini memberikan aroma yang unik dan mempunyai sifat mengawet makanan semula jadi.
Sambil membakar lemang saya dapat mendidik anak-anak keperluan untuk sentiasa bekerjasama, hormat serta dan sabar. Untuk memastikan lemang daun lerek masak dengan sempurna perlu sabar . Tempoh masa yang diperlukan untuk masak kira-kira empat jam,’’ jelasnya lagi.
Mohd Faizal berkata, seronok menghasilkan menu-menu raya dengan secara bergotong royong dengan keluarga serta jiran .
” Harga bahan-bahan mentah pun masih rendah dan mudah diperolehi .
“Terutama seperti daging, ayam, beras , gula dan sebagainya,” jelas beliau lagi.
