





KUCHING. 21 Mac – Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi berkenan mengadakan Majlis Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 bertempat di perkarangan Astana Sarawak.
Turut bersama TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan ialah anakanda-anakanda Sharifah Fariah bersama suami Encik Muhammad Syukri Mohamad Draim; Sharifah Nong Jasima bersama suami Encik Muhammad Nur Hakeem Yusop; Sharifah Nuril Barieyah bersama suami Encik David James Foley; serta cucunda Puteri Athena Maimunah dan Feona Elsie Norjannah Foley.
Majlis dimulakan pada jam 9.30 pagi dengan menyaksikan kehadiran para pemimpin negara dan negeri di Dewan Santapan, Astana Negeri Sarawak. Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Yusof bersama isteri Datin Amar Ruziah binti Mohd Tahir; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri-menteri Persekutuan dan Sarawak; Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri Dato Hajah Baduyah binti Haji Bujang; Timbalan-Timbalan Menteri; Ahli-Ahli Yang Berhormat serta dif-dif kenamaan lain bersama pasangan masing-masing.
Seterusnya pada jam 11.00 pagi, TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan serta keluarga berkenan menerima kunjungan tetamu awam serta rakyat dari pelbagai latar belakang masyarakat termasuklah pelancong dari luar negara yang dianggarkan lebih 25,000 orang sepanjang majlis berlangsung sehingga jam 4.00 petang.
Kemeriahan sambutan Aidilfitri di Astana Sarawak tahun ini amat dirasai dengan penuh warna warni dengan kehadiran masyarakat yang datang dengan mengenakan pakaian tradisonal masing-masing yang melambangkan keunikan masyarakat di Sarawak.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan hiburan, dentuman meriam buluh serta pebagai jamuan daripada pelbagai reruai yang menyajikan menu tradisional Hari Raya.
Kehadiran masyarakat berbilang kaum ke majlis ini sekali lagi memperlihatkan semangat muhibah, keharmonian dan perpaduan yang menjadi teras kekuatan Sarawak serta menjadi wadah mempererat hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat dalam suasana penuh harmoni, mesra dan kekeluargaan.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang hadir serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri Astana Negeri Sarawak tahun ini.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan atas kehadiran rakyat pelbagai kaum dan lapisan masyarakat ke Majlis Hari Raya Aidilfitri Astana Negeri Sarawak 1447H/2026 yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak hari ini.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan mendoakan agar sambutan Aidilfitri tahun ini membawa keberkatan, kesejahteraan dan terus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Foto: Astana Sarawak
