


KUCHING, 28 Mac – Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menandatangani Perjanjian Memperkukuh Kerjasama Bandar Persahabatan dengan Bandar Huangshi, Wilayah Hubei di China pada Rabu lepas (25 Mac).
Dalam kenyataan hari ini, MPP memaklumkan perjanjian tersebut bertujuan mempererat hubungan dua hala serta memperluaskan kerjasama strategik.
Kedua-dua pihak komited memperkukuh kerjasama berasaskan prinsip persamaan dan manfaat bersama, khususnya dalam pembangunan projek, perdagangan, pertukaran pendidikan serta pelancongan ekologi.
Delegasi MPP diketuai oleh Pengerusinya, Kaunselor Tan Kai, manakala Huangshi diwakili Datuk Bandar Wu ZhiLing, yang berlangsung di The Camphor Garden, Huangshi dan disaksikan oleh wakil kedua-dua delegasi.
Kaunselor Tan Kai dan Wu ZhiLing menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak kerajaan masing-masing, disaksikan oleh kedua-dua delegasi.
Menurut Kaunselor Tan Kai, lawatan berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama khususnya dalam bidang budaya, pendidikan dan perdagangan.
Sepanjang lawatan itu, delegasi MPP turut mengadakan kunjungan ke beberapa institusi pendidikan dan industri utama, termasuk Universiti Pendidikan Hubei dan Institut Politeknik Hubei.
Delegasi turut mendapat kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan sektor industri di Huangshi dalam pembangunan bakat sebagai satu model yang boleh dicontohi.
Ini sekali gus memberi inspirasi kepada institusi dan syarikat di Padawan.
DEBBIE AMANDA
Foto: MPP
