PMX akhiri Lawatan Khas ke Jakarta, bincang isu geopolitik bersama Prabowo

Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 MAC 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan Lawatan Khas ke Jakarta hari ini selepas
mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta.

Pertemuan yang bermula pada pukul
4.30 petang waktu tempatan itu berlangsung dalam suasana
perkembangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Seusai perbincangan, Prabowo mengiringi Anwar secara peribadi ke Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma sebagai tanda hubungan erat dan muhibah antara kedua-dua pemimpin.

MENAMATKAN LAWATAN KERJA

Anwar berlepas pulang ke tanah air kira-kira pukul 7.15 malam waktu tempatan, sekali gus menamatkan lawatan kerja sehari beliau.

Lawatan itu diadakan atas jemputan Prabowo susulan perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin pada 23 Mac lepas, selain menjadi kunjungan pertama Anwar ke Jakarta tahun ini.

la turut menyusul lima siri pertemuan peringkat tinggi antara kedua-dua pemimpin tahun lalu, termasuk Konsultasi Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 yang berlangsung pada 28 Julai di Jakarta.

MEMPERGIAT USAHA DIPLOMATIK

Sebagai hasil utama pertemuan itu, Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat usaha diplomatik bagi meredakan konflik di Asia Barat, melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian aman dan berkekalan.

Dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kedua-dua negara turut menegaskan kepentingan memperkukuh kesepaduan serantau berteraskan prinsip bagi mengekalkan keamanan, menjamin kestabilan serta meningkatkan daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memastikan kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik, termasuk Selat Hormuz, tidak terjejas. – SUMBER : BERNAMA

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *