JAS SARAWAK LARANG PEMBAKARAN TERBUKA

KUCHING, 27 Mac – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak menasihati orang awam di seluruh negeri agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menurut kenyataan JAS, larangan ini perlu diberi perhatian serius terutama ketika musim panas dan cuaca kering yang sedang melanda negara, yang boleh meningkatkan risiko jerebu serta kebakaran tidak terkawal.

Jelasnya, langkah tersebut penting bagi mengelakkan kemerosotan kualiti udara akibat pencemaran, khususnya pada musim kering.

Pembakaran terbuka merangkumi pembakaran sisa pertanian, semak samun atau belukar, pembakaran buangan seperti sampah domestik dan sisa binaan, pembakaran di tapak pelupusan atau kawasan tanah gambut, serta pembakaran terkawal tanpa kelulusan bertulis pihak berkuasa.

Pencemaran daripada pembakaran terbuka boleh memberi kesan serius kepada kesihatan awam, termasuk menyebabkan asma, batuk dan bronkitis akibat pendedahan kepada zarah halus.

Ia juga boleh mengakibatkan masalah pernafasan dan jantung, terutama dalam kalangan bayi, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit kronik, selain menyebabkan iritasi mata, tekak dan hidung.

Selain kesihatan, kesan terhadap alam sekitar turut membimbangkan, termasuk peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU), kemerosotan kualiti tanah dan air, kemusnahan flora dan fauna serta ekosistem hutan dan tanah gambut, selain peningkatan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.

Sehubungan itu, JAS menegaskan bahawa mana-mana individu yang melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024).

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta, atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya

Pesalah juga boleh dikenakan denda tambahan sehingga RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas notis dikeluarkan.

Orang ramai turut digesa bekerjasama dalam menangani isu pencemaran dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau menerusi portal e-aduan JAS.

MADELINA
Foto kredit: JAS

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *