Kejayaan sesebuah istitusi perlu komitmen, keikhlasan individu yang melaksana – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto MAIPs
2 APRIL 2026

Kejayaan sesebuah institusi bukan sahaja bergantung kepada dasar dan perancangan yang baik, tetapi juga kepada komitmen serta keikhlasan dan integriti setiap individu yang melaksanakannya dengan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam menjalankan sebarang amanah, setiap pihak tidak mengira siapa hendaklah sentiasa mengekalkan semangat kerjasama, profesionalisme dan ketulusan hati dalam menguruskan tugas masing-masing.

Segala usaha yang dirancang juga mestilah memberi manfaat yang nyata kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuhkan lagi kesejahteraan umat serta memastikan organisasi yang diwakili akan terus dihormati dan diyakini.

Didoakan agar Allah SWT memelihara niat, mempermudahkan urusan, dan membimbing setiap langkah dalam menguatkuasakan segala kepercayaan yang diberikan.

MENGETUAI PROGRAM MAIPs

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Sungai Baru, Simpang Ampat, baru-baru ini.

Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan yang sama, Baginda berharap semoga segala usaha yang dilakukan di bawah naungan MAIPs menjadi amal soleh yang memberi manfaat di dunia dan menjadi pemberat timbangan di akhirat kelak.

Program kayuhan ini terus diperkasa sebagai medium utama bagi mendekati serta menyantuni golongan yang memerlukan di seluruh Negeri Perlis.

GAYA HIDUP SIHAT

Inisiatif murni yang diterajui oleh MAIPs ini menggabungkan elemen gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal dengan misi dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan secara langsung di lapangan.

Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs yang merangkumi bantuan wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada para penerima yang terpilih.

Bagi edisi kali ini, yang disantuni terdiri daripada Padzilah Aziz, 75, dari Kampung Sungai Baru Tengah, Radziah Latif, 83, serta Munirah Kerya, 46, masing-masing dari Kampung Simpang Empat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *