22 klien AADK lulus SPM 2025

Oleh: Sholina Osman
2 APRIL 2026

Seramai 22 dari 27 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya lulus dalam mata pelajaran yang diambil.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata 20 klien adalah dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan, Kedah, enam klien (PUSPEN Papar, Sabah) dan seorang (PUSPEN Sungai Besi, Kuala Lumpur).

β€œSemua klien ini sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di kedua-dua PUSPEN berkenaan yang menawarkan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) khususnya kepada klien di bawah umur 18 tahun sebagai peluang kedua dalam kebajikan pendidikan,” kata Ruslin dalam kenyataan media di FB AADK.

KLIEN YANG LAYAK

Ruslin berkata di program PAPK ini, semua klien yang layak akan mengikuti jadual kelas yang sistematik dan diajar oleh guru yang berpengalaman serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah.

Beliau menambah, program PAPK ini bertujuan membantu klien AADK mendapatkan peluang pendidikan secara formal yang boleh menjamin masa depan mereka kelak.

β€œKesemua klien yang lulus SPM 2025 berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giat MARA Malaysia dan politeknik,” katanya.

BAGI MEMAJUKAN DIRI

Ruslin berkata usaha ini adalah untuk memberi peluang kepada klien bagi memajukan diri dalam aspek akademik dan sijil kemahiran menerusi kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh dimanfaat klien AADK untuk meneruskan kehidupan sekali gus dapat mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.

Selain itu, kata beliau PAPK menjadi titik tolak kepada perubahan persepsi bahawa keciciran di sekolah tidak semestinya berakhir tanpa ada ruang untuk memperbaikinya.

β€œSebanyak enam mata pelajaran diambil klien AADK iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Sains; Matematik; Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,” jelas beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *