KPDN GAGALKAN CUBAAN MENYELEWENG 10,000 LITER DIESEL

KUCHING, 2 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berjaya menggagalkan satu cubaan penyelewengan melibatkan 10,000 liter minyak diesel dalam satu serbuan hari ini.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, rampasan tersebut dianggarkan bernilai lebih RM70,000.

Menurut beliau, komoditi kawalan itu didapati disimpan secara haram di sebuah premis kilang batu di kawasan Bintawa.

Dalam serbuan yang dijalankan sekitar pukul 1 tengah hari itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan permit penyimpanan yang sah.

“Suspek gagal memberikan permit penyimpanan dan perkara selebihnya masih dalam siasatan,” katanya kepada media selepas operasi berkenaan di Kuching.

Beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya telah mengintip kegiatan sindiket tersebut sejak lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran diesel berkenaan.

Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, KPDN merekodkan sebanyak 42 kes penyelewengan minyak melibatkan 225,471 liter petrol dan diesel dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM501,139.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa permit yang sah.

Wartawan/Foto: DICKIN

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *