



3 April 2026
Dalam mendepani ketidaktentuan global, Kementerian Ekonomi terus menekankan perancangan jangka sederhana bagi memastikan sebarang impak terhadap rakyat, industri dan kesinambungan pembangunan negara dapat ditangani secara lebih awal, tersusun dan berkesan.
Meskipun konflik Asia Barat dan krisis tenaga global ini mungkin akan tamat dalam tempoh sekitar enam bulan, tetapi kesan rantaian terhadap ekonomi, bekalan dan kos operasi dijangka boleh berlanjutan sehingga setahun.
Justeru, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan intervensi dibuat pada masa yang tepat, khususnya dalam menangani perkara-perkara mendesak yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan sektor industri.
Pendekatan ini disokong melalui pemantauan menyeluruh berasaskan data, 𝘥𝘢𝘴𝘩𝘣𝘰𝘢𝘳𝘥 dan maklum balas langsung daripada pihak industri bagi memastikan setiap keutamaan semasa dapat dikenal pasti serta diselesaikan sebaik mungkin.
PROJEK PEMBANGUNAN YANG SEDANG DILAKSANAKAN TETAP DITERUSKAN
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek
pembangunan yang sedang dilaksanakan tetap akan diteruskan dan disiapkan walaupun berlaku kenaikan kos susulan konflik di Asia Barat.
“Fokus perancangan jangka sederhana, pemantauan berterusan dan mempercepatkan tidakan susulan supaya pelaksanaan kekal mengikut jadual serta elak kos tambahan.
“Menilai ruang intervensi dalam skop sedia ada, turun padang dan berbincang dengan pengurusan projek untuk selesaikan cabaran segera,’’ kata beliau pada sidang media di walkabout ke tapak projek projek pembinaan jalan baharu Nilai–Labu ke Bandar Enstek , Negeri Sembilan pada 2 April lalu.
Projek tersebut adalah di bawah inisiatif Malaysia Vision Valley (MVV) yang melibatkan kos projek sebanyak RM557.5 juta yang dijangka akan siap dalam suku tahun pertama 2027.
Projek pembangunan terus dipacu bagi memperkukuh daya tahan ekonomi setempat.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka mempertingkat aliran trafik dan akses ke kawasan MVV serta Seremban Barat, sekali gus membuka lebih banyak ruang pertumbuhan kepada sektor industri, logistik, perumahan dan peluang ekonomi setempat.
“Bila akses dipercepat, ekonomi turut digerakkan. Infrastruktur yang baik bukan sekadar menghubungkan destinasi, tetapi menghubungkan rakyat kepada peluang, pekerjaan dan masa depan yang lebih baik.” Jelas beliau yang turun padang meninjau status pembinaan jalan baharu dari
Nilai
Labu ke Bandar Enstek di bawah projek Malaysia Vision Valley (MVV) .
MENAMBAH BAIK JARINGAN JALAN RAYA KE MVV
Lawatan Menteri Ekonomi tersebut memberi fokus kepada usaha turun padang bagi.
meningkatkan pemantauan perkembangan salah satu projek pembangunan Kerajaan
Persekutuan.
Projek ini merupakan salah satu usaha menambah baik jaringan jalan raya ke MVV
dan kawasan Seremban Barat, selaras dengan perkembangan kawasan itu sebagai
koridor pertumbuhan penting bagi pelaburan, industri, logistik, perumahan dan
pergerakan tenaga kerja.
Projek ini secara tidak langsung memberi manfaat besar
kepada pengguna dan komuniti setempat melalui perjalanan yang lebih lancar,
pengurangan kesesakan serta akses yang lebih baik ke kawasan ekonomi utama di Negeri Sembilan.
“ Bila akses lebih lancar, ekonomi juga bergerak lebih pantas. Projek ini bukan
sekadar bina jalan, tetapi buka peluang kepada rakyat, pekerja, peniaga dan
pelabur,” kata Akmal lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu memperkukuh penyelarasan dan
mempercepat tindakan susulan supaya pelaksanaan projek kekal mengikut jadual,
tidak menjejaskan momentum ekonomi, serta mengelakkan pertambahan kos kepada
peruntukan pembangunan.
“Dalam keadaan semasa yang mencabar dan negara semakin merasai krisis
tenaga global, termasuk kesan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, kita
tidak boleh benarkan kelewatan terus berlaku. Sebarang isu berbangkit mesti
diselesaikan secara cepat, bersepadu dan pragmatik supaya projek siap
mengikut masa dan manfaatnya sampai kepada rakyat tanpa tertangguh,”
katanya.
Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri, agensi pelaksana,
pihak berkuasa teknikal, syarikat utiliti dan kontraktor bagi memastikan projek ini akan
diselesaikan segera mengikut jadual dan pemantauan di lapangan terus diperkasa.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen Kementerian Ekonomi untuk memastikan
projek pembangunan dilaksanakan secara berkesan selaras dengan aspirasi
Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 yang menekankan agenda
“Melakar Semula Pembangunan” ke arah pertumbuhan yang lebih mampan, inklusif
dan bernilai tinggi.
RMK13 juga meletakkan penekanan kepada pengukuhan ekonomi
domestik, pembangunan wilayah yang seimbang serta penyampaian manfaat
pembangunan yang lebih menyeluruh kepada rakyat.
