
KUCHING, 5 APRIL – Kerajaan memberi tumpuan khusus bagi memastikan bekalan diesel di Sabah kekal mencukupi bagi menjamin penjanaan kuasa yang stabil.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata keperluan itu bukan sahaja melibatkan kegunaan domestik, malah penting untuk menyokong sektor industri dan perniagaan.
“Yang mencabar ialah di Sabah sebab Sabah bergantung banyak dengan diesel untuk penjanaan tenaga sekarang ini,
“Kita tahu diesel sekarang ini harganya meningkat begitu tinggi dan di samping bekalannya juga berkurang. Ini yang nak diberi tumpuan bagaimana kita nak membantu memastikan Sabah mendapat cukup bekalan untuk penjanaan kuasa.” katanya.
Datuk Amar Fadillah berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Kampung Semariang Batu di Dewan KASBA, Petra Jaya di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Sarawak berada dalam kedudukan yang selesa hasil peralihan kepada tenaga hijau khususnya hidro yang kini menyumbang kira-kira 60 peratus penjanaan tenaga negeri.
Ini katanya sekali gus mengurangkan kebergantungan Sarawak kepada penggunaan diesel.
Mengulas situasi di Semenanjung pula, beliau berkata penjanaan tenaga lebih bergantung kepada gas dan arang batu dengan lebih 30 peratus keperluan disumbang oleh gas yang turut menjadi cabaran dari segi jaminan bekalan.
DEBBIE AMANDA
(RTM Sarawak)
Foto: JAPEN
