WHO hargai Malaysia aktif isu kesihatan antarabangsa – KKM

Oleh: Sholina Osman
31 MAC 2026

Pengarah Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen dan penglibatan aktif dalam isu kesihatan antarabangsa, serta
peranan konstruktif dalam memperkukuh kerjasama global berteraskan solidariti.

Kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan demikian ketika beliau mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Lawatan ini mencerminkan hubungan kerjasama yang erat, strategik dan berterusan antara Malaysia dan WHO dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan, daya tahan sistem
kesihatan, serta mempertingkat keupayaan respons terhadap cabaran kesihatan global.

MEMBAWA IMPLIKASI POSITIF

Kunjungan ini membawa implikasi positif secara langsung kepada rakyat Malaysia bagi tujuan pencegahan, kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam, menerusi rundingan Pathogen Access and Benefit Sharing (PABS) di bawah Intergovernmental Working Group (IGWG) yang sedang berlangsung.

Kerjasama ini turut memperkukuh kesiapsiagaan (preparedness) dan sistem amaran awal (early warning system) Malaysia terhadap ancaman penyakit berjangkit melalui rundingan pindaan International Health Regulations (IHR) serta Pandemic Agreement. Usaha ini memastikan Malaysia lebih pantas mengesan dan bertindak balas terhadap sebarang krisis kesihatan masa hadapan, sekali gus
meminimumkan gangguan kepada aktiviti ekonomi dan kelangsungan sosial rakyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa penglibatan aktif Malaysia di peringkat WHO adalah untuk memastikan suara rakyat Malaysia terus diberi perhatian di peringkat kesihatan global.

“Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan WHO bagi memastikan sistem kesihatan negara sentiasa berada di tahap
tertinggi, inklusif, dan bersedia mendepani sebarang cabaran kesihatan global demi
kesejahteraan rakyat,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *