132,000 LITER DIESEL BERSUBSIDI DIRAMPAS, SEORANG LELAKI DITAHAN DI SIBU

SIBU, 6 APRIL – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60 tahun ditahan, manakala sebanyak 132,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM283,800 dirampas dalam satu operasi di sebuah jeti di Ulu Lanang, Sibu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon, berkata serbuan yang dijalankan oleh pasukan dari Polis Diraja Malaysia bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu menyasarkan sebuah kapal tunda dikenali sebagai Sinar Pelutan 1.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa muatan diesel bersubsidi sebanyak 132,000 liter yang dianggarkan bernilai RM283,800, disimpan dalam sembilan tangki di atas kapal berkenaan.

“Kami percaya diesel tersebut dibawa dari luar untuk pasaran di bahagian Sibu. Setakat ini, itu maklumat awal yang kami peroleh. Untuk makluman semua, laluan ini merupakan jalan utama yang menghubungkan ke laluan keluar lain, dan Sibu mempunyai potensi besar sebagai lokasi penyeludupan diesel bersubsidi,” katanya.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kapal dianggarkan mencecah RM773,600.

Siasatan awal mendapati kapal tersebut telah berlabuh di jeti berkenaan selama kira-kira sebulan dengan alasan mengalami kerosakan enjin dan perlu dibaiki sebelum meneruskan pelayaran ke Kepulauan Solomon.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dan semua tangkapan serta rampasan telah diserahkan kepada pihak KPDN Sibu untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pihak PDRM, khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, akan terus mempergiatkan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan barang bersubsidi, khususnya diesel.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Deen

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *