

KUCHING, 7 April — Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan telah melaksanakan sepuluh serbuan menerusi Op Hazard 3.0 di beberapa lokasi di Sarawak semalam.
Operasi bersepadu itu melibatkan kawasan Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri, dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.82 juta.
Dalam satu kenyataan media, Komander PGA Briged Sarawak , SAC Lim Bak Phai memaklumkan bahawa seramai 12 individu telah ditahan.
Mereka terdiri daripada 10 warga tempatan dan dua warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengumpulan serta pemprosesan sisa elektronik (e-waste) tanpa mematuhi syarat pelesenan dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Rampasan turut melibatkan pelbagai komponen e-waste seperti wayar dan kabel elektrik, komponen elektronik, bateri terpakai, tayar serta peralatan pemprosesan.
Selain itu, pihak berkuasa juga menyita beberapa kenderaan dan kontena yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
PGA Briged Sarawak menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi seumpama ini secara berterusan melalui kerjasama strategik antara pelbagai jabatan, dalam usaha membanteras kegiatan pengurusan sisa e-waste secara tidak sah di negeri ini.
Wartawan: ERIC
Foto: PGA
