
8 April 2026
PUTRAJAYA:
Malaysia mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Republik
Islam Iran.
Perkembangan ini merupakan satu langkah signifikan ke arah meredakan ketegangan serta
memulihkan keamanan dan kestabilan yang amat diperlukan di rantau Asia Barat.
Malaysia menggesa semua pihak untuk menghormati sepenuhnya serta melaksanakan semua terma
gencatan senjata bagi mengelakkan persengketaan yang berpanjangan.
Semua pihak juga hendaklah
mengelakkan daripada sebarang tindakan provokatif atau langkah unilateral yang boleh menjejaskan
kestabilan di rantau tersebut serta menggugat kestabilan ekonomi dan tenaga global.
Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha diplomatik yang
membawa kepada perjanjian ini.
Kejayaan ini membuktikan bahawa diplomasi kekal sebagai satu-satunya
jalan yang berdaya maju dalam menyelesaikan konflik berpanjangan serta dalam memastikan
keselamatan serantau dalam jangka panjang.
Semua pihak hendaklah memanfaatkan ruang yang wujud ini untuk meneruskan dialog ke arah
penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan.
Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk
menyokong usaha-usaha keamanan ini serta menyumbang ke arah penyelesaian yang adil dan
berkekalan, demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat di rantau tersebut.
Putrajaya
8 April 2026
