


Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 APRIL 2026
Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini terus meneliti kesan krisis tenaga global dengan fokus utama melindungi rakyat serta menjamin keterjaminan bekalan strategik negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan terus diperkukuh melalui pemantauan rantaian bekalan yang lebih ketat serta pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.
“Kerajaan MADANI juga memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan melalui pemantauan stok berpusat, kepelbagaian sumber import serta pelan kecemasan bagi memastikan keperluan kritikal sentiasa mencukupi,” kata beliau dalam hantaran di FB.
STOK PENIMBAL STRATEGIK
Anwar berkata bagi jangka panjang, Kerajaan akan memperkukuh stok penimbal strategik, membangunkan industri tempatan serta merangka dasar menyeluruh melalui MyMedSecure.
Jelas beliau MTEN turut meneliti operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan keutamaan kepada keselamatan dan kebajikan mereka.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara tersusun dan bertanggungjawab untuk mengurus krisis ini dengan berkesan, memastikan rakyat dilindungi dan negara kekal berdaya tahan,” tegas beliau. – JM
