





11 April 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
terus memperkukuh kerjasama bersama rakan-rakan strategik termasuk
pihak industri, peniaga dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam
memperkasa pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN
mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pihak dalam inisiatif yang
diselaraskan melalui Sekretariat Inisiatif Ihsan Food Bank yang
diwujudkan di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Hari ini Jetsin Sdn. Bhd., syarikat pembekal dan peruncit makanan sejuk
beku halal yang beroperasi di Kota Kinabalu, secara rasmi menyertai
Inisiatif i-FB. Penyertaan Jetsin Sdn. Bhd. bersama rakan-rakan strategik
seperti Persatuan Jurumasak Sabah dan Persatuan Dapur Kita Sabah ini
disasarkan akan dapat memperkukuhkan pelaksanaan program “Dapur
Kita-Kita” yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat
(CSR) sedia ada syarikat yang telah dimulakan sejak Disember 2024.
Armizan berkata melalui inisiatif i-FB@Dapur Kita-Kita, sebanyak 200 pek bantuan
makanan bermasak disalurkan kepada golongan memerlukan di sekitar
Kota Kinabalu.
Jelas beliau lagi, program yang diterajui oleh syarikat ini turut melibatkan
partisipasi kumpulan sukarelawan khususnya dalam kalangan
mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Kota Kinabalu.
Katanya KPDN amat menghargai keprihatinan Jetsin Sdn. Bhd. dalam memainkan
peranan membantu masyarakat yang memerlukan.
Beliau berkata komitmen ini selaras
dengan kepentingan pendekatan kolaboratif antara Kerajaan, industri dan
komuniti melalui pendekatan seluruh negara dalam menggerakkan ikhtiar
“Santuni Komuniti, Sayangi Alam, Selamatkan Makanan” yang
merupakan tiga komponen teras Inisiatif i-FB.
i-FB@Bazar Ramadan 2026
Menurut beliau dalam menggerakkan Inisiatif i-FB, sepanjang bulan Ramadan lalu,
KPDN bersama rakan strategik telah melaksanakan i-FB@Bazar
Ramadan 2026. Ikhtiar ini telah berjaya menyelamatkan sejumlah 71.3
tan (71,352.69 kg) lebihan makanan.
DIAGIH KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN
Bagi Negeri Sabah, sebanyak 2.6
tan (2,675.74 kg) makanan berjaya diselamatkan dan telah diagihkan
kepada golongan yang memerlukan.
Program ini telah dilaksanakan di
119 bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan seramai 2,875
sukarelawan.
“Pencapaian ini jelas menunjukkan keberkesanan pendekatan bersepadu
dalam meminimakan pembaziran makanan dan memperluas manfaat
kepada komuniti yang memerlukan sekali gus memelihara alam dengan
mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2).
” Ini juga dapat
mengurangkan lambakan sisa makanan di pusat-pusat pelupusan
sampah,” katanya.
Kementerian melalui Sekretariat Inisiatif i-FB di bawah NACCOL sedang
menyediakan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan dengan matlamat
untuk memperkasa ikhtiar ini sejajar dengan matlamat yang digariskan.
‘Ini termasuk mengenal pasti bentuk pengiktirafan yang wajar diberikan
kepada pihak yang menunjukkan komitmen yang konsisten, ” kata Armizan.
