






Oleh: Sholina Osman
13 APRIL 2026
Puteri-puteri kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berangkat hadir mewakili Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) yang berlangsung meriah di Gabion Garden Hall, Jalan Genting Klang, Taman Danau Kota, Kuala Lumpur.
Kedua-dua puteri Baginda tersebut dipersembahkan Sijil Keahlian Ahli Kehormat sebagai tanda penghormatan tertinggi Persatuan daripada Yang DiPertua PPKL, Datuk Md Silmi Abd Rahman.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan, malah menjadi platform penting dalam mengukuhkan ukhuwah dan jalinan silaturahim dalam kalangan anak perantauan Perlis khususnya di Lembah Klang.
MENCERMINKAN SEMANGAT KEKITAAN
Kehadiran yang amat memberangsangkan ini jelas mencerminkan semangat kekitaan dan kasih terhadap negeri Perlis yang terus utuh walau berjauhan.
Pelbagai juadah tradisional dan moden yang menyelerakan telah disajikan, di samping pengisian acara yang menarik dan penuh warna-warni, menjadikan majlis ini sebagai simbol perpaduan, warisan budaya serta keakraban komuniti Perlis di perantauan.
Untuk rekod, dalam usaha memperkasakan pendidikan dan kebajikan, PPKL telah melaksanakan beberapa inisiatif yang signifikan kebelakangan ini.
Antaranya ialah Program Success Bound bersama MRSM Beseri pada tahun lepas, yang melibatkan seramai 500 murid serta guru pengiring dari semua sekolah menengah di Perlis.
DIRANGKA SECARA STRATEGIK
Program ini dirangka secara strategik untuk membina kesedaran, meningkatkan motivasi, dan memperjelas hala tuju akademik para pelajar, selari dengan keperluan membentuk generasi yang mampu beradaptasi dan berdaya saing dalam landskap pendidikan dan kerjaya yang semakin mencabar.
Melalui program tersebut juga, PPKL telah menyumbangkan 30 unit laptop
bernilai RM30,000 kepada para pelajar asnaf bagi membantu mereka dalam pembelajaran.
Bagi perancangan tahun 2026 ini, Program Success Bound akan diteruskan dan dijangka berlangsung sekitar bulan Jun 2026.
Sokongan dan penglibatan aktif semua ahli amat penting bagi memastikan setiap program PPKL terus berjaya.
Semoga persatuan ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada komuniti anak-anak Perlis di Kuala Lumpur. – JM
