INSENTIF PESAWAH NAIK, BANTUAN DIESEL DIPERTINGKAT: KPKMSAMBUT BAIK LANGKAH PROAKTIF YAB PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA, 15 APRIL 2026 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
(KPKM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri
Kewangan, atas keprihatinan dan tindakan proaktif dalam menambah baik bantuan
kepada golongan pesawah, petani, pekebun kecil serta pengguna diesel yang layak.

Langkah penambahbaikan ini amat signifikan dan tepat pada masanya dalam
mendepani cabaran krisis tenaga global yang berlarutan susulan konflik di Asia Barat
yang telah memberi tekanan besar kepada kos pengeluaran makanan dan rantaian
bekalan negara.

KPKM menyambut baik pendekatan Kerajaan MADANI yang
memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan makanan serta kesejahteraan
rakyat.

Peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160
kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 merupakan satu langkah
yang amat dihargai, khususnya dalam membantu hampir 200,000 pesawah
mengurangkan beban kos operasi.

Selain itu, kesinambungan insentif penuaian turut
mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong sektor padi dan
beras negara.

KPKM juga menyambut baik peningkatan bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Agri-
Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi
April 2026.

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 200,000 petani
dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di
Semenanjung Malaysia.

Bantuan ini akan membantu meringankan beban kos bahan
api yang meningkat dan memastikan kelangsungan aktiviti pertanian serta
pengeluaran makanan negara.

Selain itu, langkah Kerajaan untuk melonggarkan syarat pembelian diesel bagi
kegunaan jentera pertanian adalah satu pendekatan pragmatik yang akan
memudahkan pengusaha sektor agromakanan menjalankan operasi mereka dengan
lebih efisien tanpa kekangan birokrasi yang tidak perlu.

Kementerian ini yakin bahawa langkah-langkah yang diumumkan akan memberi impak
positif kepada produktiviti sektor agromakanan serta memperkukuh keterjaminan
makanan negara dalam jangka masa pendek dan panjang.

KPKM akan terus
bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan
pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar dan mencapai matlamat yang disasarkan.

KPKM kekal komited untuk menyokong agenda Kerajaan MADANI dalam
memperkukuh sektor pertanian negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran
negara.

Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *