


17 April 2026
PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir,
telah mengadakan lawatan ke Projek IPR-INTAN Putrajaya pada
hari ini.
Tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau perkembangan Program IPR-INTAN
khususnya Projek IPR-INTAN di Putrajaya.
Program IPR-INTAN yang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi sejak Mac 2023
bukan sahaja membolehkan golongan B40, miskin dan miskin tegar memperolehi
pendapatan tambahan, ianya juga membantu usaha Kerajaan bagi memastikan
jaminan bekalan makanan asas negara kekal stabil dan tidak berdepan gangguan
bekalan, susulan krisis tenaga global yang sedang dihadapi.
MEMBANTU LEBIH 2,300 PESERTA GOLONGAN B40
Sehingga kini, Program IPR-INTAN telah membantu lebih daripada 2,300 peserta
daripada golongan B40, miskin dan miskin tegar memperolehi pendapatan tambahan
dan seterusnya mengeluarkan daripada paras kemiskinan.
Melalui hampir 60 projek
IPR-INTAN di seluruh negara, para peserta turut didedahkan kemahiran dan
pengetahuan dalam keseluruhan rantaian pertanian termasuk proses semaian,
penanaman, penuaian dan juga pemasaran hasil pertanian yang berkualiti.
Di Putrajaya, projek IPR-INTAN yang melibatkan tanaman cili secara fertigasi di
kawasan seluas 10 ekar telah memberi manfaat kepada 20 peserta dengan purata
pendapatan bulanan kira-kira RM3,000.
Projek yang kini memasuki pusingan kelima
telah menghasilkan lebih 200 tan cili yang bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Projek IPR-INTAN Putrajaya yang dilaksanakan di atas tanah milik Perbadanan
Putrajaya (PPj) ini dikendalikan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan
kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL).
Projek ini turut
mendapat sokongan Nestlé Malaysia yang membeli sebahagian besar keluaran
ladang untuk produk syarikat mereka.
Selain itu, Nestlé Malaysia juga membantu dari
segi amalan mampan yang meningkatkan kesihatan tanah serta menjimatkan
penggunaan input termasuk air dan bahan kimia.
Krisis tenaga global yang semakin meruncing pada masa kini menuntut Kerajaan
untuk memberi tumpuan kepada kepentingan meningkatkan keterjaminan makanan
negara.
Pengeluaran tempatan dan pertanian di rumah (homebased) perlu
dipergiatkan bagi mengurangkan kebergantungan import, menstabilkan harga barang
dan juga menangani isu beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagi tahun 2026, Kementerian Ekonomi telah bersetuju bagi pelaksanaan 20 projek
IPR-INTAN baharu yang akan memberi manfaat kepada 600 peserta daripada
golongan B40, miskin dan miskin tegar.
Antara projek tersebut termasuk peluasan
projek IPR-INTAN Putrajaya yang akan membolehkan tambahan 20 lagi peserta
menjadikan keseluruhan 40 peserta disini.
Kementerian Ekonomi akan terus meningkatkan kerjasama dengan jabatan serta
agensi Kerajaan terutamanya di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan
Makanan (KPKM), pihak berkuasa tempatan serta syarikat swasta seperti Nestlé
Malaysia dalam meningkatkan usaha keterjaminan makanan negara.
Kerjasama
tersebut bukan sahaja daripada aspek pengeluaran hasil pertanian, malah
pengeluaran input sokongan dan juga pemasaran bagi memastikan kepentingan
semua pihak terlibat daripada petani, nelayan dan pesawah hinggalah kepada
pengguna diberi perhatian.
