


Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
16 APRIL 2026
Kerajaan meletakkan sasaran lebih berani iaitu meningkatkan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) GLIC sehingga RM2 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia boleh dicapai melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC).
“Kita harap dapat menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu, serta membimbing lahirnya Jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
MENGANGKAT MARTABAT EKONOMI
Anwar berkata ini bukan sekadar angka, tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih mapan dan berdaya saing.
Beliau berkata Kerajaan MADANI kekal beriltizam untuk mendukung dan menyemarak agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera sebagai wahana yang berdaya hasil dan berteraskan pencapaian yang membanggakan.
Justeru, kata beliau pendekatan strategik yang digerakkan harus bersifat menyeluruh, daripada memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan, hinggalah membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.
EKOSISTEM YANG TEPAT
“Kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan Bumiputera mampu berdiri setara, malah unggul dalam landskap ekonomi moden,” kata Anwar.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan, serta peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan yang mampan.
Lantaran itu, katq Perdana Menteri sesi meja bulat ini bukan sekadar penyuguhan idea, tetapi medan penting untuk melarai kekangan dan merungkai tantangan yang masih membelenggu usahawan Bumiputera.
PENDEKATAN SEDIA ADA
“Kerajaan mendengar, menilai, dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada agar setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan,” tegas beliau.
Walhasil, kata beliau dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, tetapi sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang madani. – JM
