






Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
20 APRIL 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa penghayatan disiplin yang tinggi dan berterusan sebagai kunci kecemerlangan akan memastikan setiap perancangan dan usaha membuahkan hasil yang cemerlang.
Melalui pengurusan masa yang bijak, sikap bertanggungjawab serta kawalan diri yang mantap, para pelajar bukan sahaja mampu meningkatkan keupayaan intelektual, malah membina sahsiah dan karakter unggul.
“Ilmu merupakan sinar yang menerangi jalan kehidupan. Justeru, tuntutlah ia dengan penuh kecekalan dan kesungguhan. Manfaatkan sepenuhnya peluang berada dalam persekitaran asrama yang kondusif dengan memperbanyakkan diskusi bersama rakan serta mendapatkan bimbingan daripada para guru,” titah Baginda.
Tuanku Raja Muda turut menzahirkan keyakinan bahawa pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra mampu muncul sebagai generasi berilmu, berakhlak dan berintegriti tinggi, seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
PROGRAM TITIAN KASIH
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) di Behor Pulai, Kangar baru-baru ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Pengetua sekolah, Masodiah Mahfodz @ Mahfod.
Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan seramai 307 pelajar yang terdiri daripada 171 pelajar lelaki dan 136 pelajar perempuan tingkatan 1 hingga tingkatan 3.
PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN SEKOLAH
Menurut Pengetua sekolah, antara pencapaian membanggakan sekolah termasuk kejayaan pasukan dalam pertandingan Malaysia International Young Innovators Olympiad (MIYIO) 2025 yang berjaya merangkul johan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, pasukan sekolah turut menjuarai 5th International Creative Creators Playground di peringkat antarabangsa.
Para pelajar juga aktif menyertai program antarabangsa seperti Malaysia Grand Invention Expo (MAGIEX) 2024 dengan mengetengahkan projek inovasi berkaitan isu anti buli.
Di peringkat kebangsaan pula, pelajar sekolah ini mencatat kejayaan dalam sukan kriket dengan merangkul naib johan pada tahun 2025, selain turut muncul naib johan dalam pertandingan National ICT Cybersecurity Challenge 2025.
Kejayaan-kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para pelajar, komitmen tinggi guru-guru serta sokongan padu daripada ibu bapa. Setiap pencapaian yang diraih menjadi pemangkin untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Bilik Citra Lestari yang berfungsi sebagai bilik pelbagai guna, pusat sehenti pelajar bagi tujuan pameran serta ruang persediaan tetamu. – JM
