SARAWAK AKUR SEKIRANYA SUKMA DITANGGUH, TUNGGU KEPUTUSAN RASMI

KUCHING, 21 April – Sarawak akan akur sekiranya keputusan dibuat untuk menangguhkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Ini susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kewajaran penangguhan temasya tersebut.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini perkara itu masih belum diputuskan secara rasmi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum (BDY) di Kuching, malam tadi.

Menurutnya, sekiranya penangguhan diputuskan, Sarawak terpaksa akur walaupun pelbagai persiapan telah dilaksanakan, termasuk perbelanjaan besar bagi menyediakan kontinjen negeri.

“Kalau Selangor mengatakan bahawa mereka tidak jadi, kita terpaksa akur walaupun kita sudah berbelanja agak besar untuk menyediakan skuad kontinjen kita,” katanya.

Persiapan yang telah dibuat merangkumi latihan atlet serta penginapan di beberapa lokasi pertandingan di seluruh Selangor.

Edisi SUKMA kali ini melibatkan sembilan daerah sebagai venue pertandingan, sekali gus memerlukan perancangan logistik yang rapi dan menyeluruh.

SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mencadangkan agar penganjuran SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Wartawan/Foto: ROSE

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *