

KUCHING, 20 April — Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam pengurusan Hal Ehwal Islam terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan ke atas Premier Sarawak, di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Kunjungan tersebut merupakan lawatan rasmi pertama Senator Dr Zulkifli Hasan sejak dilantik ke jawatan tersebut pada 16 Disember lalu.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk mempererat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan Tabung Haji, usaha dakwah serta pembangunan pendidikan Islam.
Kerjasama ini dilihat penting dalam memastikan penyelarasan dasar dan pelaksanaan program yang lebih efektif antara Persekutuan dan Sarawak.
Sarawak turut memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi Islam di negara ini, dengan kewujudan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) di Kuching serta Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lawas yang telah beroperasi sejak tahun 1980-an.
Sementara itu, perbincangan turut menyentuh persiapan Sarawak sebagai tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Wartawan : Eric
Sumber : Pejabat Premier Sarawak
Foto : JaPEN
