MCMC panggil individu bantu siasatan muat naik kandungan jelik terhadap Sultan Selangor

Wartawan JM
28 APRIL 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam
menjalankan siasatan bagi kes memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

MCMC telah mengambil rakaman percakapan seorang individu yang merupakan pentadbir kepada akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre pada hari ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233, Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara
sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

PDRM MENJALANKAN SIASATAN

Manakala pihak PDRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau dipenjarakan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap Institusi Diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

Orang ramai diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab, serta bahawa sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah—khususnya melibatkan Institusi Diraja—
akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *