



Oleh: Sholina Osman
29 APRIL 2026
Seorang individu didenda sebanyak RM30,000 Mahkamah Sesyen Keningau, Sabah hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan
memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman menerusi platform media sosial Facebook pada 22 Disember 2025.
Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan tertuduh Mohamad Azri Sahlam, 41 tahun, didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana
menggunakan perkhidmatan aplikasi (iaitu akaun Facebook) secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya.
Tertuduh telah membayar denda berkenaan.
Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 233(2) Akta 588, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya sekali.
KANDUNGAN JELIK MELAMPAU
MCMCmemandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berunsur 3R.
Perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman, malah berpotensi menggugat ketenteraman dan keharmonian awam.
Orang ramai diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta bebas daripada penyalahgunaan yang boleh mencetuskan keresahan dan ketegangan masyarakat.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat. – JM
