Amalan gaya hidup sihat keperluan penting dalam kehidupan pelajar – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
2 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menegaskan bahawa amalan gaya hidup sihat merupakan satu keperluan penting dalam kehidupan pelajar.

Sehubungan itu, Baginda menyeru para pelajar supaya menjauhi rokok, dadah, vape serta amalan tidak sihat yang boleh menjejaskan kesejahteraan diri.

“Kesihatan fizikal dan emosi yang baik, akan membantu meningkatkan kecerdasan minda dalam proses pembelajaran,” titah Baginda.

Selain itu, Baginda menekankan peranan penting sekolah sebagai institusi yang bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah membentuk sahsiah pelajar.

PEMATUHAN KEPADA PERATURAN

Melalui bimbingan guru dan pematuhan kepada peraturan sekolah, pelajar dididik menjadi individu yang berdisiplin, bertanggungjawab serta menghormati orang lain.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis baru-baru ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengetua Sekolah, Norihan Kassim.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Che Rasaidi Che Yob, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Johari Mohd Darus, dan Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

SERAMAI 609 ORANG

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis tersebut melibatkan kehadiran seramai 609 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga iaitu terdiri daripada 326 pelajar lelaki dan 283 pelajar perempuan.

Dalam ucapannya, Pengetua sekolah memaklumkan bahawa SMK Kuala Perlis terus mencatat pencapaian membanggakan, khususnya dalam pendigitalan pendidikan apabila dipilih sebagai sekolah rintis bagi program AI Powered Classroom dengan kerjasama Google Malaysia. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan sekolah dalam memperkasa penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Seramai 41 orang guru turut berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai Google Certified Educator, sekali gus membuktikan tahap kompetensi digital yang tinggi dalam kalangan warga pendidik.

DIPERKUKUH DENGAN SUMBANGAN

Usaha ini diperkukuh dengan sumbangan dana berjumlah RM161,000 daripada Agrobank bagi pelaksanaan program Pre-GRI, yang akan digunakan untuk pembelian Chromebook bagi memperluas akses pembelajaran digital secara lebih inklusif dan berkesan.

Dalam bidang akademik, SMK Kuala Perlis mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 5.23 bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, dengan peningkatan peratus lulus layak sijil daripada 90.15 peratus kepada 93.79 peratus.

Lebih membanggakan, empat orang murid berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A dalam semua mata pelajaran.

Kecemerlangan turut terserlah dalam bidang kokurikulum dan sukan apabila murid sekolah ini berjaya meraih pelbagai kejayaan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

JOHAN HOKI MSSPs

Antaranya termasuk johan pertandingan antarabangsa di Thailand, naib johan keseluruhan Merentas Desa MSSPs 2026, serta johan hoki MSSPs bawah 18 tahun bagi kategori lelaki dan wanita. Selain itu, pencapaian dalam bidang memanah, kulinari serta koakademik seperti NILAM terus mengangkat nama sekolah ke tahap lebih tinggi.

Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah ini juga mencatat kejayaan membanggakan, termasuk meraih tempat ketiga dalam Malaysia IT Challenge peringkat kebangsaan serta pelbagai kejayaan dalam kejohanan sukan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Secara keseluruhannya, pencapaian demi pencapaian ini membuktikan kecemerlangan menyeluruh SMK Kuala Perlis dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan pendidikan khas, sekali gus mengharumkan nama sekolah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Makmal Sains Sukan yang dilengkapi kemudahan gimnasium lapan stesen termasuk mesin treadmill, basikal statik, alat penimbang serta pelbagai peralatan sokongan lain. Makmal ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *